KEDATANGAN PORTUGIS DI MELAKA PADA TAHUN 1511-1624 MASIHI
Setelah menakluki Goa, Portugis mendapati bukan India tetapi sebaliknya Asia Tenggara yang boleh memberi kekayaan kepada mereka. Mereka telah mengumpul maklumat daripada setiap pelaut yang datang ke Goa dan akhirnya membuat kesimpulan bahawa sesiapa yang memerintah Melaka akan mempunyai kuasa untuk menggegarkan Venice.
Bagi mengukur kekuatan Melaka, Portugis telah menghantar sepasukan peninjau dengan lima buah kapal yang diketuai oleh Diego Lopez de Sequeira. Angkatan itu tiba di Melaka pada 11 Ogos 1509 dan de Sequeira menghantar salah seorang nakhodanya mendarat dengan membawa warkah dan hadiah dari Raja Portugis kepada Sultan. Penduduk Melaka tidak pernah melihat orang Eropah sebelum ini dan apabila kelasi-kelasi Portugis itu medarat, orang-orang Melayu mula mengerumuni mereka. Mereka amat terpegun dengan paras rupa serta warna kulit orang-orang Portugis ini. Mereka mula menyentuh janggut perang orang Portugis, mengusap kepala dan memegang tangan mereka dan menggelar mereka sebagai Benggali Putih.
Setibanya angkatan Portugis, Bendahara Melaka telah menerima kiriman warkah dan hadiah yang dibawa untuk dipersembahkan kepada Sultan. Pada mulanya, tetamu ini dilayan dengan baik tetapi keadaan berubah apabila orang-orang India dan Arab Muslim mendesak Sultan dan Bendahara agar tidak mempercayai pihak Portugis. Mereka mendakwa bahawa pihak Portugis tidak akan berpuas hati dengan hanya sekadar berkongsi keuntungan perniagaan tetapi akan merampas keseluruhannya untuk diri mereka sendiri. Justeru, satu perancangan telah dibuat untuk menangkap orang-orang Portugis dan menyerang angkatan laut mereka. Bagaimanapun, perancangan tersebut telah terbongkar apabila seorang gadis Jawa yang sedang dilamun cinta dengan salah seorang kelasi Portugis telah memaklumkan mereka. Setelah mendapati rancangan mereka telah terbongkar, pihak Melayu bertindak menangkap Ruy de Aranjo, salah seorang nakhoda Portugis bersama dua puluh kelasinya yang tidak bersenjata yang sedang membeli barang keperluan. De Sequeira gagal membebaskan tahanan tersebut dan terpaksa berlayar meninggalkan mereka.
(Alfonso D’ Albuquerque)
Apabila Alfonso D’ Albuquerque, Gabenor dan Ketua Nakhoda Portugis di Timur mendapat berita tentang penangkapan orang-orangnya, dia telah mempersiapkan sebuah angkatan yang mengandungi lapan belas buah kapal dengan 1,400 anggota yang terdiri daripada 800 orang Portugis dan 600 orang India Malabar, lalu menuju ke Melaka. Angkatan D’ Albuquerque tiba di pelabuhan Melaka pada 1 Julai 1511 dengan tujuan untuk menaklukinya dan menubuhkan sebuah kerajaan baru. Setelah mendapat berita yang D’ Albuquerque dan angkatannya telah melepaskan tembakan meriam ke atas Melaka, Sultan Mahmud Syah menuntut penjelasan tentang tindakan Portugis ini. D’ Albuquerque menuntut pembebasan orang-orangnya yang ditawan dan bayaran pampasan ke atas kerugian yang mereka tanggung. Sultan Mahmud Syah menggunakan pelbagai helah dan melengah-lengahkan masa bagi memperkukuhkan lagi kubu pertahanan serta mempersiapkan segala bekalan di kedua belah bahagian Melaka yang dipisahkan oleh sungai. Pihak Portugis hilang sabar dan mengambil keputusan untuk membakar sebahagian rumah yang terletak di persisiran pantai serta kapal-kapal perdagangan yang sedang berlabuh kecuali tongkang-tongkang China dan kapal-kapal India dari Tanjung Kormorin.
Justeru, Melaka membebaskan semua tawanan akan tetapi D’ Albuquerque masih belum berpuas hati. Dia mengarahkan satu serangan dilakukan ke atas kota Melaka. Kota Melaka terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian utama kota dan bahagian pinggir kota di seberang sungai di mana para pedagang menetap. D’ Albuquerque merancang untuk menguasai jambatan yang menghubungkan kedua bahagian kota ini bagi menghalang mereka daripada saling bantu membantu di antara satu sama lain. Serangan tersebut dilancarkan pada 25 Julai 1511. Beliau sendiri mengetuai sepasukan beberapa ratus anggota tentera ke bahagian utara kota manakala sepasukan lagi bertindak menyerang jambatan. Maka berlakulah pertempuran sengit di antara tentera Portugis dengan tentera Melayu dan Jawa, yang mengakibatkan ramai yang cedera parah atau terbunuh. Pihak Portugis akhirnya terpaksa mengundurkan diri kembali ke kapal mereka dengan membawa askar yang tercedera. Serangan pertama mereka gagal.
Selang beberapa hari kemudian, D’ Albuquerque menyerang Melaka sekali lagi dan akhirnya Melaka telah jatuh ke tangan Portugis pada tanggal 10 Ogos 1511. Justeru, Sultan Mahmud Syah dan keluarganya berundur ke Ulu Bertam, Pahang. Pengunduran Sultan ke Ulu Bertam membolehkan pihak Portugis melenyapkan saki-baki tentangan dari tentera diraja yang terdiri daripada orang-orang Melayu, Gujerat dan India. Tentera Portugis menawan setiap penjuru kota serta membunuh sesiapa sahaja yang disyaki menentang mereka, tidak kira lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Orang-orang dari Pegu, Burma dan orang-orang Hindu dari Tanjung Kormorin dibenarkan meninggalkan Melaka tetapi terpaksa menyerahkan segala harta benda mereka kepada Portugis.
Pada 24 Ogos tahun 1511, Alburqueque telah mengarahkan askar-askarnya merampas semua harta benda dan barang-barang bernilai milik Sultan dan rakyat Melaka. Di antara barang-barang yang dirampas adalah pasu, jongkong emas, barang kemas, batu permata, kain sutera, wangian dan dua ribu meriam tembaga. Kubu dan istana Kesultanan Melayu Melaka akhirnya musnah dan kesemua barangan bernilai habis dirampas. Keagungan dan keunggulan Kerajaan Melayu Melaka hilang akibat serangan Portugis.
Bagi mempertahankan dan memperkuatkan lagi pengkalan Portugis, Alburquerque telah membina sebuah kubu yang terletak di antara kawasan tanah tinggi dan Sungai Melaka. Kubu tersebut dikenali sebagai A Farmosa. Beratus-ratus pekerja, hamba dan tawanan perang telah dikerah untuk membina kubu tersebut. Batu-batu daripada masjid-masjid yang telah musnah dan makam-makam diraja telah digunakan untuk membina tembok tebal kubu ini. Di dalam kubu tersebut dibangunkan pula Istana Gabenor dan istana Paderi Besar, kamar Dewan Kerajaan, beberapa gereja, berek-berek, dua buah hospital, biara dan sebuah penjara.
Alburquerque juga telah berjaya menghapuskan tentangan dari Utimutiraja, Sultan Ahmad dan orang-orang Jawa yang ingin merampas Melaka kembali dari tangan Portugis. Beliau telah melantik Rui de Brito sebagai Gabenor dan Nina Chattu sebagai Perdana Menteri. Beliau kemudiannya memastikan keamanan serta aktiviti perdagangan dipulihkan dengan menggalakkan pedagang-pedagang membuka kembali perniagaan mereka. Selain itu, beliau juga telah menghantar beberapa misi persahabatan ke Siam, Jawa, China dan Kepulauan Maluku. Magellan, yang merupakan orang pertama belayar ke seluruh dunia dari tahun 1519 hingga ke tahun 1522, adalah salah seorang pegawai Albuquerque ketika penawanan Melaka.
Bagi memastikan perdagangan berjalan lancar, Albuquerque telah memperkenalkan mata wang yang baru di Melaka. Walaupun aktiviti perdagangan secara amnya dijalankan secara barter, terdapat juga beberapa urus niaga yang dijalankan dengan menggunakan wang timah Melayu. Wang baru yang diperkenalkan oleh Portugis adalah dalam bentuk timah atau tembaga, perak dan emas.
Apabila beliau telah berpuas hati dengan keadaan di Melaka, Albuquerque pun kembali ke markasnya di Goa. Beliau meninggalkan Melaka pada Januari 1512, membawa bersamanya kesemua khazanah Melaka untuk dipersembahkan kepada Raja dan Permaisuri Portugal. Walau bagaimanapun, kapalnya, Flora de la Mar, telah dilanda badai di perairan barat Sumatra. Hampir kesemua barang-barang yang dibawanya hilang, namun beliau bernasib baik kerana terselamat dari bencana tersebut.
(sistem barter)